Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mampu membayar dividen sebanyak RM54 bilion kepada kerajaan kerana syarikat itu mempunyai rizab yang tinggi.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Petronas memiliki rizab sebanyak RM147 bilion pada akhir Mac 2018.

Rizab syarikat tersebut tinggi kerana Kerajaan Barisan Nasional tidak paksa Petronas untuk bayar dividen setinggi itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, malah kerajaan terdahulu berjaya meyelesaikan isu perjanjian legasi Penjanaan Tenaga Bebas (IPP) berat sebelah pada 2012 selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengambil alih IPP dan menjadi syarikat IPP kedua terbesar di negara.

“Sebab itulah, isu IPP ini tak lagi jadi bahan propaganda PH selepas tahun 2013 walaupun sebelum itu mereka sering timbulkan isu ini dan dakwa kerajaan hilang RM20 bilion hingga RM30 bilion setiap tahun.

“Selepas 1MDB ambil alih banyak IPP dan jadi syarikat IPP kedua terbesar di Malaysia, ini membolehkan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka buat kali pertamanya dalam sejarah pada bulan September 2012 untuk perjanjian IPP.

“Dengan kuasa pasaran yang ada pada 1MDB dan dengan lanjutan kerajaan, 1MDB adalah pembida terendah untuk setiap bidaan Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) baru atau pembaharuan yang dimasukinya.

“Ini beri kesan untuk memaksa pembida lain menurunkan harga mereka juga – sekaligus menghapuskan isu legasi perjanjian berat sebelah,” kata Najib dalam satu kenyataan.

Jelas Najib, selama lebih 15 tahun sebelum tahun 2012, Petronas dipaksa memberi subsidi dan membekal gas kepada IPP dengan harga sangat murah.

Sebagai contoh, harga gas dikenakan Petronas kepada IPP pada tahun 2009 hanya RM6.40 setiap MMBtu menyebabkan Petronas menanggung kerugian lebih dari RM10 bilion setiap tahun.

Setelah tahun 2012, harga gas Petronas kepada IPP dapat dinaikkan secara berperingkat kepada RM22.70/MMBtu pada tahun 2017, oleh itu, kerugian Petronas untuk subsidi ini yang antara RM13 bilion hingga RM15 bilion setiap tahun dapat dikurangkan kepada RM1 bilion atau RM2 bilion setahun.

“Penjimatan subsidi gas kepada IPP bebas jelas dinyatakan di dalam laporan tahunan Petronas. Satu angka yang tidak dapat dinafikan dan itu juga sudah didedahkan sebelum ini tetapi ramai tak mahu membaca dan memahami,” jelas Najib.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, TNB juga tidak perlu membayar harga yang tinggi kepada IPP bebas dan ini membolehkan TNB membuat keuntungan tertinggi setiap tahun dan bukannya kerugian seperti dahulu sehingga memerlukan kerajaan untuk diselamatkan (bail-out).

KWSP, PNB dan Tabung Haji adalah antara pemegang saham utama TNB, pembayaran dividen dan harga saham yang lebih tinggi akan secara langsung memanfaatkan pemegang dana yang disebut – iaitu rakyat Malaysia.

“Saya dikecam kerana selepas masalah IPP berat sebelah ini telah diselesaikan,1MDB menjual IPP-IPP ini melalui tender terbuka yang dimenang oleh syarikat China dan ia disamakan jual negara.

“Perlu diingatkan ialah sebelum 1MDB mengambil alih, IPP-IPP ini bukan pun milik kerajaan tetapi milik pihak swasta yang sering dikatakan ialah kroni-kroni satu orang itu.

“Adakah ianya lebih baik untuk rakyat jika IPP dimiliki oleh pihak swasta dengan perjanjian berat sebelah dan menyusahkan negara dan rakyat ataupun dimilik oleh syarikat antarabangsa dengan perjanjian yang adil? Mana satu?,” ujar beliau lagi,

Ironinya, kata Najib, ada pihak mendakwa beliau merompak dan menyamun dengan 1MDB, padahal fakta menunjukkan Petronas dan TNB mendapat faedah sebanyak RM20 bilion setiap tahun iaitu nilai kerugian yang sering disebut oleh PH pada masa dahulu.

Jika kira selama 20 tahu , iaitu tempoh purata perjanjian IPP, sudah pun RM400 bilion, tambah Najib. – MalaysiaGazette