Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim bercakap semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim bercakap semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim menggunakan pendekatan kepimpinan al-Quran dalam kalangan masyarakat kawasan itu supaya memiliki sikap berdikari, bekerjasama dan semangat tolong menolong antara satu sama lain.

Beliau yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu dengan majoriti 986 undi berkata, sebaik menjadi wakil rakyat, beliau melihat masyarakat di situ begitu kuat dengan sikap kebergantungan kepada pemimpin.

Katanya, sikap demikian boleh memudaratkan masyarakat itu sendiri apabila berada dalam kesusahan, mereka tidak dapat memikirkan jalan keluar dari permasalahan yang dihadapi.

“Sikap kebergantungan kepada wakil rakyat ini terlalu tinggi sehingga mereka lemah berdikari. Kalau mereka benar-benar susah, kita bantu, tetapi sebenarnya mereka bukan susah, hati mereka ada masalah, dan ini pun saya kategorikan sebagai susah juga.

“Susah tidak ada duit satu perkara, susah hati bermasalah ini menyebabkan kepimpinan mereka lemah dan nilai berdikari mereka sangat rendah.

“Bagi saya masalah ini yang perlu diperbaiki dan ini antara kerja (tugas) saya dan cabaran yang saya hadapi,” katanya dalam pertemuan eksklusif dengan Malaysia Gazette di Madrasah Al Barakah, Gedung Lalang, Ampangan, dekat Seremban, baru-baru ini.

MGF05112018_TEMUBUAL ADUN LENGGENG11
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim menunjukkan sebahagian buku yang ditulis semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018

Pada PRU14 itu, Suhaimi, calon Parti Amanah Negara (Amanah) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mazalan Maarop dan calon Pas, Mohammad Ghazali Abu Bakar.

Beliau mendapat 7,456 undi, manakala Mazalan (6,470 undi) dan Mohammad Ghazali (1,612 undi).

Bekas Bendahari Pas Kawasan Seremban ini yang perwatakannya hampir menyamai Allahyarham Datuk Fadzil Noor keluar dari parti itu bersama beberapa rakannya seperti Mohamad Sabu dan Khalid Samad pada 2015 setelah berlaku pergolakan dalam Pas.

Selepas tamat pengajian di Universiti Madinah dan membantu bapanya dalam perniagaan, beliau turut terlibat dalam parti politik Pas dan bergerak aktif sekitar tahun 1999 sebagai ahli kawasan Seremban.

MGF05112018_TEMUBUAL ADUN LENGGENG07
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim bercakap semasa temubual khas di Madrasah Al-Barakah, Gedong Lalang, Seremban, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OKTOBER 2018

Katanya, tahun 2005 beliau diber mandat oleh kepimpinan sayap sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas (DPP) Kawasan Seremban selama dua penggal, selain turut memegang jawatan Bendahari Dewan Pemuda Pas Negeri Sembilan.

“Pada permulaan pergolakan dalam parti, saya antara pemimpin yang tidak setuju dengan apa yang berlaku, yang mana akhirnya saya dengan beberapa kawan keluar dari Pas dan tubuhkan Parti Amanah.

“Saya kemudian ditawarkan bertanding di DUN Lenggeng. Bukan saya suka-suka mahu bertanding. Saya ditawarkan, tapi sebelum itu saya selalu pergi ke Lenggeng sebagai Pemuda (Pas) dan sebagai orang politik.

“Saya juga mengajar agama di beberapa rumah secara tertutup di Lenggeng, dan saya mengenali serta ramah dengan masyarakat di sini,” katanya.

Mencerita lebih lanjut, Suhaimi berkata, sebaik ditawarkan bertanding di Lenggeng, beliau mendekati penduduk di situ melalui ilmu pendidikan, iaitu mengajar dan mengadakan kuliah Dhuha.

Ini kerana, katanya, penduduk di DUN berkenaan agak sensitif dengan politik pembangkang ketika itu, kerana kebanyakannya adalah penyokong tegar UMNO.

Katanya, beliau akhirnya dapat mengubah minda masyarakat dengan banyak turun dan membantu mereka menerusi kaedah ilmu pendidikan iaitu kepimpinan al-Quran dan agenda ihsan.

“Dalam pertandingan itu, saya sendiri tidak sangka boleh menang. Lenggeng ini satu kawasan yang besar, dari Pancor sampai ke sempadan Selangor di Broga. Perjalanannya hampir 45 minit.

“Kawasannya sangat luas. Di tengah-tengahnya ada hutan simpan dan penduduknya yang ramai di sebelah Pancor iaitu hampir 50 peratus pengundi, di Pantai kira-kira 2,000 pengundi dan 7,000 di Lenggeng,” katanya.

Lenggeng ini katanya, mempunyai banyak kampung termasuk yang terbaru Bandar Tasik Senangin, tetapi majoriti penduduknya adalah pengundi luar.

“Apabila saya diberi mandat menang, saya lihat agenda saya sama juga apa yang ada di sini. Saya meneruskan lagi, memperluaskan lagi agenda kepimpinan al Quran di DUN Lenggeng.

“Di DUN ini ada sembilan masjid dan belasan surau. Kepimpinan al Quran ini tidak boleh berpisah dengan masjid dan surau. Saya kira ini adalah satu institusi pendidikan rakyat.

“Saya perhatikan juga ramai menubuhkan sekolah untuk anak-anak, tapi tidak ramai yang ambil perhatian mengenai sekolah orang dewasa, dan pengajian al Quran ini sangat berkait rapat dengan orang dewasa, bukan kanak-kanak,” katanya.

Katanya, atas dasar kesedaran itu, beliau mahu menjadikan masjid dan surau sebagai sekolah dewasa.

Anak kelahiran Rembau, tetapi dibesarkan di Gedung Lalang ini turut menceritakan, beliau mempunyai ratusan anak murid di kalangan mereka yang sudah bersara dari kerja mengikuti kuliah Dhuha hampir setiap hari.

Beliau menubuhkan Madrasah Al Barakah, Gedung Lalang pada tahun 2012 dan mengajar kepimpinan al-Quran, iaitu pengajian yang sesuai dengan orang dewasa.

Menurutnya, kepimpinan al Quran sebenarnya yang memandu manusia dalam hal ehwal politik sekarang kerana ia menggunakan pendekatan syahadah dan tadabbur, iaitu suatu penyaksian kehidupan berpandukan kitab suci Allah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan