Mohamad Hasan

SEREMBAN — UMNO hari ini melancarkan jentera sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun petisyen pilihan raya DUN Rantau itu masih belum diputuskan, tetapi pihaknya bersiap-siaga dalam usaha memastikan kelancaran gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Meskipun setakat ini mahkamah belum ada keputusan terhadap petisyen pilihan raya DUN Rantau, kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Lagipun rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti, jadi pelancaran jentera itu amat sesuai dilakukan hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Bersama Presiden UMNO di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau, dua Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Calon PKR DUN Rantau Dr S. Streram pada Pilihan Raya Umum Ke-14, memfailkan petisyen pada 23 Mei lepas bagi menuntut perintah supaya PRK diadakan setelah mendakwa pemilihan Mohamad selaku pemenang kerusi DUN itu adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus reponden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Sementara itu, Mohamad berkata dijangka mahkamah memberikan keputusan terhadap petisyen pilihan raya DUN Rantau itu pada minggu depan.

“Kita bukan mahu dahului mahkamah… kalau tidak ada pilihan raya kecil Alhamdulillah tetapi jentera ini akan digerakkan untuk bangkitkan semula UMNO dan saya yakin UMNO akan bangkit semula bermula di Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan Barisan Nasional akan membentangkan Belanjawan Alternatif Pembangkang 2019 di Dewan Rakyat, Isnin depan.

— BERNAMA