Datuk Seri Vida
Datuk Seri Vida

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hasmiza Othman memberi semangat kepada Datuk Seri Aliff Syukri supaya tabah dalam menghadapi kecaman netizen.

Menerusi Instagram, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang merupakan pengasas Vida Beauty mahu sahabatnya itu supaya tidak mudah berkecil hari.

Malah, beliau menjustifikasikan manusia merupakan insan yang sering melakukan kesilapan dalam perbuatan.

“Kita tidak akan dapat lari daripada stigma masyarakat dan bukan mudah juga menjadi satu-satu yang unik dalam masyarakat. Semoga adindaku Aliff Syukri terus kuat!

“Kadang-kadang kita tersasul tapi tak berniat pun.Maafkanlah dia, setiap orang pasti melakukan kesilapan dan paling penting jadikan pengajaran,” tulisnya di laman sosial berkenaan.

Aliff merupakan penaja utama rancangan realiti GegarVaganza musim kelima yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen berbayar Astro.

Siaran tersebut dipancarkan melalui saluran Ria pada setiap malam Ahad.

Pada Ahad lepas, Aliff telah mengeluarkan perkataan ‘berwajah hodoh dan bomoh’ terhadap seorang penonton yang berada di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyaksikan konsert itu.

Aliff turut mendekati wanita tersebut dan kemudian membuat demonstrasi ke atas penonton itu dengan mengenakan produk yang ada ditangannya ke wajah wanita tersebut.

Meskipun wanita berkenaan dilihat bersikap selamba selepas diperlakukan sedemikian namun, dia kemudian bertindak meninggalkan tempat duduknya.

Vida pernah menerima kritikan hebat daripada netizen apabila juara Gegar Vaganza musim keempat iaitu Aishah mendakwa barangan kemas tajaan penaja yang bernilai RM80,000 adalah palsu.

Gara-gara kontroversi tersebut, pengasas kosmetik dari Kelantan itu mendedahkan perniagaannya mengalami kerugian hampir RM1 juta.

Vida merupakan penaja program realiti tersebut dari musim pertama hingga keempat. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/06/isteri-nasihat-aliff-jangan-datang-konsert-gegarvaganza/