Foto Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR – Bekas kaptennya, Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim menegaskan keputusannya untuk meninggalkan juara lima kali Liga Super itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Jelas pemain berusia 31 tahun itu, tindakannya itu tidak ada kena mengena dengan sesiapa.

“Keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama demi kepentingan JDT dan diri saya sendiri.

“Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” katanya dalam Instagram miliknya hari ini.

Sementara itu, Safiq turut terbuka menyertai pasukan Harimau Selatan itu semula suatu hari nanti.

“Jika ada rezeki saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali,” katanya.

Pemain tengah itu turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan kepercayaan dan membantu dirinya serta keluarganya selama ini.

“Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik Tunku dan JDT.

“Ia adalah satu penghargaan terbesar dapat bersama dalam keluarga JDT dan mengecapi kejuaraan bersama,” katanya.

Tunku Ismail dalam satu posting di Twitternya semalam berkata keputusan tidak menyambung kontrak Safiq dilakukan kerana JDT mahu membawa masuk pemain import yang lebih bagus dan muda daripada pemain berusia 31 tahun itu pada musim depan.

Katanya, kelab Harimau Selatan itu tidak mampu menanggung pemain yang bergaji tinggi namun hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail berkata pasukan itu sendiri mempunyai Nazmi Faiz yang menampilkan persembahan baik pada musim ini dan beberapa pemain tengah muda yang lain.

“Dengan JDT yang banyak membawa masuk pemain-pemain muda, jika pemain senior seperti Safiq Rahim masih lagi berada di dalam pasukan, pemain muda ini agak sukar untuk mengembangkan bakat dan permainan mereka,” katanya.

Oleh sebab itu, Tunku Ismail berkata beliau mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda tempatan dan berbakat daripada mengekalkan Safiq. – MalaysiaGazette