PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kaum lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ia adalah sebahagian daripada fokus kerajaan dalammembela wanita-wanita yang dinafikan hak mereka oleh bekas suami.

“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN), malah dibincangkan diperingkat kementerian. Ssaya harap penguatkuasaan itu akan dipertingkatkan dengan melibatkan isu-isu sekatan bank.

“Kita perlukan sedikit penguatkuasaan ke atas suami-suami yang liat membayar nafkah untuk bekas isteri,” katanya kepada media selepas selepas menghadiri sesi Town Hall Maqasid berjudul “Tadbir Urus Maqasid Syariah” di Putrajaya.

Buat masa ini, wanita yang diceraikan dan gagal mendapatkan nafkah boleh membuat tuntutan terhadap bekas suami di Mahkamah Syariah.

Ujar Mujahid, terdapat banyak kes berkaitan dengan isu tuntutan nafkah dan jalan penyelesaian yang difikirkan wajar adalah dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang ke atas bekas suami.

“Kita perlukan penguatkuasaan lebih tegas supaya mereka tahu bahawa keputusan mahkamah itu perlu dihormati, kalau mereka tak buat akan ada tindakan ke atas mereka.

“Banyak aduan isteri tak dibela kerana kegagalan dan kecuaian suami untuk membayar nafkah yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette