PUTRAJAYA –  Bible yang diedarkan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini juga diagihkan kepada pelajar Melayu.

Agihan itu dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong.

Katanya, beliau masih menunggu laporan berhubung kejadian itu.

“Saya masih menanti laporan. PDRM akan ambil maklumat (keterangan) daripada pelajar yang menerima Bible berkenaan dan kita tunggu dahulu apa kandungan laporan itu.

“”Bila pelajar keluar sekolah, ada yang Islam dan ada yang bukan Islam. Orang itu mungkin tersalah beri dan ingatkan pelajar itu bukan Islam,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi Town Hall Maqasid berjudul “Tadbir Urus Maqasid Syariah” di sini.

Agihan Bible itu didakwa dilakukan oleh NGO dan bukan mewakili gereja atau persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

Namun, Mujahid menyifatkan tindakan itu menimbulkan kontroversi apabila Bible turut diberikan kepada orang Melayu.

Beliau juga menyelar tindakan individu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai menteri, saya selalu mengambil pendekatan kalau boleh kita selesaikan dengan cara baik jangan benda ini jadi satu isu yang boleh menjejaskan perkara yang lebih besar dengan mengambil kira konsep berhati-hati pada masa depan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan