erpihan pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Isnin lalu. foto CNN
Serpihan pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia pada Isnin lalu. foto CNN

WASHINGTON – Boeing Co. sedang membuat persiapan untuk menghantar senaskah buletin kepada pengendali-pengendali pesawat baharunya, 737 Max bagi memberi amaran mengenai bacaan salah pada sistem pemantauan pesawat boleh menyebabkan kapal terbang berkenaan menjunam.

Menurut sumber yang mengetahui mengenai perkara tersebut, amaran berkenaan dikeluarkan bersandarkan kepada hasil penemuan awal daripada insiden sebuah kapal terbang Lion Air yang terhempas di Indonesia baru-baru ini.

Buletin yang akan diterbitkan seawal-awalnya pagi ini mengikut waktu Jakarta akan memaklumkan juruterbang supaya mengikut prosedur sedia ada semasa menghadapi masalah tersebut, kata sumber berkenaan.

Di bawah beberapa kemungkinan, pesawat jenis Max secara automatik akan menjunam ke bawah sekiranya ia mengesan adanya masalah aerodinamik.

Salah satu daripada cara kritikal untuk pesawat berkenaan menentukan sama ada masalah aerodinamik adalah dengan mengira sudut serangan (angle of attack) iaitu dengan melihat kepada sudut di mana angin melintasi sayap pesawat.

Pesawat Max 8 milik Lion Air yang membawa 189 orang telah terjunam ke dalam Laut Jawa pada 29 Oktober lalu, beberapa minit sebelum ia berlepas.

Juruterbang-juruterbang yang berhadapan dengan masalah bacaan kelajuan telah meminta supaya pesawat tersebut berpatah balik ke Jakarta untuk mendarat bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian.

Setakat ini masih belum jelas sama ada isu kelajuan udara mempunyai kaitan dengan masalah sudut serangan.

Jurucakap Boeing yang berpangkalan di Chicago tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.- MalaysiaGazette