KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang(CAP) akan menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun pada sidang satu bersempena Majlis Konvokeysen UIAM ke-34 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 13 November di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak.

Anugerah tersebut akan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia yang juga Presiden UIAM, Dr. Maszlee Malik.

UIAM memperkenalkan anugerah khas ini adalah untuk mengiktiraf sumbangan badan-badan amal dan bukan kerajaan terhadap perkembangan serta transformasi ilmu.

Pengenalan anugerah baharu ini adalah inovasi yang diperkenalkan oleh Rektor UIAM yang baharu dilantik pada Julai lalu.

Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, ini adalah kali pertama sebuah universiti memberi anugerah kepada organisasi dan bukannya kepada individu.

“Buat pertama kalinya UIAM menganugerahkan kepada organisasi yang mana universiti lain hanya tertumpu kepada sumbangan individu saja. Diharapkan ia akan membuka ruang yang lebih luas untuk universiti menjalinkan hubungan lebih rapat dengan masyarakat,” katanya.

Anugerah yang diberikan ini adalah sebagai penghargaan kepada sumbangan CAP untuk masyarakat Malaysia dengan menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek seperti kualiti kehidupan termasuk makanan, barangan, serta produk kewangan dan hak asasi untuk persekitaran yang selamat dan bersih.

Sejak penubuhannya pada 1970, CAP telah banyak membantu pengguna-pengguna dalam menyelesaikan permasalahan yang diadukan.

Pengerusi CAP, SM Mohamed Idris akan hadir dan menerima anugerah tersebut bagi pihak persatuan itu.

Konvokesyen UIAM pada tahun ini membabitkan seramai 5,413 graduan termasuk 4,449 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dan Doktor Falsafah (964) dalam bidang pengajian daripada 16 Kulliyyah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan