KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan sebarang panggilan yang menggunakan identiti mahkamah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bagi mengelak mereka daripada terjerat dengan aktiviti Macau Scam.

Menurut kenyataan itu, PKPMP ada menerima aduan daripada orang awam mengenai panggilan yang mendakwa dibuat oleh Mahkamah bagi menuntut bayaran tunggakan hutang, tunggakan saman, kesalahan tidak membayar GST, kesalahan berkaitan dadah dan pelbagai kesalahan lain.

“PKPMP ingin menegaskan bahawa panggilan yang menggunakan nama dan identiti Mahkamah adalah modus operandi Macau Scam yang bertujuan untuk menipu orang ramai.

“PKPMP memohon kerjasama para pegawai dan kakitangan PKPMP untuk sama-sama membuat hebahan ini kepada keluarga, rakan-rakan dan kenalan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan tersebut,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, mana-mana individu yang telah menjadi mangsa bagi panggilan tersebut, boleh membuat laporan polis dan memajukan laporan tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

PKPMP turut menyarankan orang ramai supaya menyemak atau membuat pertanyaan kepada [email protected] atau boleh menghubungi talian,
semenanjung 03-8880 3500/ 03-8880 4607,
Sabah, 088-286 100/ 088-675 570/ 089-764 401 dan Sarawak, 082-442 228/ 085-418 118/ 084-333 788/ 086-334 189. – MalaysiaGazette