Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Khairy Jamaluddin dan Datuk Lokman Noor Adam berhenti mengutuk sesama sendiri secara terbuka.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menasihatkan kedua-duanya memberi fokus kepada matlamat parti.

“My dear @khairiKJ_ @LokmanAdam I know we hv the freedom of speech, but pls stop condemning each other openly in the public. We must focus on our goals. (Buat @khairiKJ_ @LokmanAdam saya tahu kita ada kebebasan bersuara, tetapi tolong berhenti mengecam secara terbuka. Kita mesti fokus pada matlamat kita).

Perang mulut antara Khairy dan Lokman bermula selepas Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan Barisan Nasional (BN) menempelak kenyataan Najib bahawa kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah disebabkan fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan (PH).

Menerusi Twitter, Khairy berkata, BN tewas pada PRU-14 disebabkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lokman yang mempertahankan Najib berkata, beliau tidak pasti apa masalah Khairy yang meroyan seperti orang datang bulan apabila mengatakan bahawa punca kekalahan BN hanyalah kerana 1MDB.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, jika Khairy berterusan menunding jari, adalah lebih baik beliau berhenti bermimpi menjadi Presiden parti tersebut.

Kenyataan itu dibalas Khairy dengan mengingatkan Lokman perkara pertama akan dilakukannya sekiranya menjadi Presiden UMNO adalah memecatnya kerana mempunyai tahap kepintaran yang rendah.

“You better pray I Don’t become President of UMNO. First Thing I’ll do is sack you for having the IQ of a carrot” (Lebih baik anda berdoa saya tidak menjadi Presiden UMNO. Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah memecat anda kerana mempunyai IQ yang rendah).

Namun, rata-rata netizen yang memberi komen menegur Bung kerana tersilap tag @khairiKJ_. Sepatutnya @Khairykj. – MalaysiaGazette