Safiq Rahim
Safiq Rahim.

KUALA LUMPUR – Bekas kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim akhirnya menjelaskan keputusannya meninggalkan skuad negeri itu.

Menerusi posting terbaru di Instagram, pemain berusia 31 tahun itu berkata, pemergiannya dari Skuad Harimau Selatan tidak dipengaruhi oleh sesiapa sebaliknya ia dibuat mengikut persetujuan bersama demi kepentingan pasukan dan dirinya sendiri.

“Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi pemergian saya dari JDT. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa,” katanya dalam satu posting di Instagramnya, Rabu.

“Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” katanya di laman sosial berkenaan.

Safiq berkata, beliau mungkin akan menyertai semula pasukan Harimau Selatan itu suatu hari nanti jika pintu rezekinya untuk ke skuad tersebut terbuka lagi.

Semalam, Tunku Ismail dalam satu posting di Twitternya berkata, keputusan tidak menyambung kontrak Safiq dilakukan kerana JDT mahu membawa masuk pemain import yang lebih bagus dan muda daripada pemain berusia 31 tahun itu pada musim depan.

Katanya, kelab Harimau Selatan itu tidak mampu menanggung pemain yang bergaji tinggi namun hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Pada masa yang sama Tunku Ismail berkata, pasukan itu sendiri mempunyai Nazmi Faiz yang menampilkan persembahan baik pada musim ini dan beberapa pemain tengah muda yang lain. – MalaysiaGazette