Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang penarikan semula produk Irbesartan di Malaysia kerana tidak dipasarkan ke negara ini susulan notis dikeluarkan United States Food and Drug Administration (USFDA).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga produk dimaksudkan adalah Irbesartan Tablets USP 75mg, Irbesartan Tablets USP 150mg dan Irbesartan Tablets USP 300mg melibatkan 22 kelompok kerana kehadiran impurityN-nitrosodiethylamine (NDEA).

“NDEA berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Produk-produk ini dikilangkan oleh ScieGen Pharmaceutical, Inc. New York dan bahan aktifnya dikilangkan oleh Aurobindo Pharma Limited., India.

“Tablet Irbesartan digunakan dalam rawatan tekanan darah tinggi dan/atau penurunan fungsi buah pinggang akibat komplikasi kencing manis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, produk berdaftar di Malaysia dinilai dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran.

“Pengawasan mutu produk berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan. Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan produk yang berdaftar dengan PBKD.

“Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang NPRA di www.npra.gov.myatau melalui applikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun di Google Play,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan