TMJ
Trofi Kasut Emas yang disediakan untuk diberi kepada pemain pada Anugerah Sukan Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan pihak yang terlibat menyediakan trofi Anugerah Sukan Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 agar meletak jawatan serta-merta.

Langkah tersebut adalah kerana gara-gara sikap pihak terlibat apabila sengaja menyediakan anugerah Kasut Emas pada anugerah itu yang hanya bersaiz sebesar tapak tangan.

Malah, TMJ menganggap trofi tersebut seperti kasut maniatur Cinderella yang tidak sewajarnya untuk dianugerahkan kepada pemain bolasepak profesional.

“Saya telah dimaklumkan mengenai isu kualiti trofi pada ABK2018.

“Bagi saya, kualiti memang tidak boleh diterima dan saya jangka sesiapa sahaja yang terlibat perlu bertanggungjawab meletak jawatan serta-merta.

“Hanya 13 jam berada di luar negara dan huru-hara berlaku. MFL, selesaikan masalah ini dan beri anugerah (trofi) yang lebih berkualiti,” katanya menerusi perkongsian di Twitter.

Terdahulu, juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai anugerah ABK 2018 apabila membolot sembilan anugerah pada majlis berkenaan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Isnin.

Pemain Kelantan Shafiq Shahrudin menerima anugerah tersebut bagi kategori penjaring terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan), manakala Rufino Segovia (Selangor) untuk Pemain Import. – MalaysiaGazette