KUALA LUMPUR – Selepas menerima desakan demi demi desakan, akhirnya Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan melepaskan jawatannya di Ipoh hari ini.

Perkara itu diumumkan Hasnul pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif PAFA.

Bagaimanapun, surat perletakan jawatan itu b elum diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizul Azumu dalam tempoh sehari dua lagi.

“Lima bulan (memegang jawatan) tempoh sangat mencabar, Allah berikan saya peluang untuk menguruskan sebuah pasukan yang digilai ramai orang.

“Jika masih ingat masa sidang media pertama saya (selepas memegang jawatan Presiden PAFA), saya menyatakan ingin membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya berjaya membawanya sehingga Perak muncul juara.

“Saya menilai dalam tempoh seminggu dua ini, kerja saya sedikit terganggu (selepas kes cara mengendalikan trofi Piala Malaysia), bagaimanapun saya terus beri fokus pada PAFA,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Dalam pada itu, Hasnul berkata keputusan itu dibuat untuk memberikan tumpuan terhadap tugas politiknya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang memegang portfolio Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong.

Hasnul dipilih sebagai Presiden PAFA pada Kongres Tahunan ke-60 PAFA, 21 Julai lalu selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Namun, beliau mencetuskan kemarahan peminat berikutan caranya mengendalikan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak selepas menumpaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.

Beberapa keping gambar yang dimuatnaiknya di media sosial miliknya membuatkan peminat mengandaikan Hasnul tidak menghormati trofi berprestij itu sehingga bukan sahaja dikecam peminat seluruh negara malah dikritik oleh bekas pemain Perak sendiri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast