Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

“Hari ini saya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan sebagai saksi tetapi bukan berkaitan kes solar,” katanya di hantaran terbaharu di laman Twitter hari ini.

Bagaimanapun, Najib tidak memberi maklumat lanjut mengenai kes sebenar yang sedang disiasat agensi pencegahan rasuah itu.

Beliau tiba di ibu pejabat berkenaan kira-kira jam 9.40 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Proton berwarna hitam.

Sebelum ini, SPRM pernah menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu. – MalaysiaGazette

Najib dipanggil SPRM berhubung kes pemasangan tenaga solar