Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Not Emas Harapan hasil inisiatif Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2018.
Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan campur tangan dalam aspek pelaksanaan undang-undang terhadap bekas-bekas pemimpin terdahulu.

Menurut Perdana, Tun Dr. Mahathir Mohamad, daripada segi kesalahan terpulang kepada pelaksanaan undang-undang bagi mendakwa mereka atas perbuatan mereka semasa memerintah negara.

“Soal nak menyalahkan orang itu dari segi undang-undang. Bukan soal kita,” katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Malah kata Mahathir, kerajaan memang fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat dan giat berusaha untuk mengembalikan negara di landasan yang betul.

“Kita kena fokus kepada masalah agar boleh jadi semula sebuah negara yang dihormati oleh dunia. Itu tujuan kita,” katanya lagi.

Mahathir berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan PH harus berhenti mengalahkan kerajaan terdahulu.

Menurut beliau, PH perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa PRU-14.

Beliau berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan kerajaan baharu perlu berhenti menuding jari dan menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, PH sudah berusia enam bulan dan kerajaan perlu memberi tumpuan dalam pelaksanaan manifesto yang dijanjikan sebelum 9 Mei lalu.

Daim berkata, kerajaan juga harus berusaha mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur untuk menarik mereka semula kembali melabur di negara. -MalaysiaGazette