Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata lawatan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak pada Selasa lepas menimbulkan "spekulasi tidak baik" kerana ia dilakukan pada masa yang tidak sesuai.

BANGKOK – Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata lawatan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak pada Selasa lepas menimbulkan “spekulasi tidak baik” kerana ia dilakukan pada masa yang tidak sesuai.

Menurutnya, beliau difahamkan lawatan Dr Wan Azizah ke Julau adalah atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri tetapi tindakan beliau pergi ke daerah itu telah menimbulkan pelbagai takrifan.

“Ini kerana Julau merupakan tempat yang kontroversi dalam pemilihan parti PKR… mungkin masa (lawatan) itu tidak sesuai sehingga menimbulkan spekulasi,” katanya kepada Bernama di sini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berada di Bangkok untuk menghadiri “Second International Conference of Nation Building” anjuran Nation Building Institute (NBI), Thailand.

Cabang PKR Julau dipalit kontroversi berikutan peningkatan mendadak anggotanya daripada sekitar 600 kepada 13,000.

Baru-baru ini Anggota Jawatankuasa Pusat PKR Latheefa Koya mempersoalkan lawatan D Wan Azizah ke Julau kerana lawatan itu dilakukan pada tempoh yang begitu hampir dengan pemilihan PKR Cabang terbabit Sabtu ini.

Dalam reaksi balasnya, Dr Wan Azizah menafikan lawatannya ke Julau adalah untuk berkempen, sebaliknya ia dilakukan atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri.

Sementara itu Zuraida berkata beliau akan mengetengahkan cadangan supaya negara turut memiliki institut atau badan pemikir yang sama seperti NBI di Thailand.

Ini kerana aspek “nation building” itu amat penting dalam usaha untuk memajukan negara, katanya.

— BERNAMA

Saya pergi kerja, bukan berkempen- Wan Azizah

Lawatan Wan Azizah ke Julau Sarawak dipertikai

Tinggalkan Jawapan