Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad (tengah) bersama Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Zakaria Hashim (tiga kiri) melihat buku pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Buku-buku Ekonomi IKIM sempena Persidangan “Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar” di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kelompok miskin bandar masih menerima upah yang rendah hasil daripada kerja yang mereka lakukan.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, secara purata golongan itu menerima gaji sebanyak RM9 sejam dan bekerja 48 jam seminggu.

Ia lebih rendah berbanding purata upah dan masa bekerja di negara ini sebanyak RM12 jam sejam bagi 47 jam bekerja seminggu, katanya.

“Dalam konteks pekerjaan, penduduk miskin bandar bekerja dalam sektor berbahaya dan juga sektor informal yang menawarkan upah yang rendah atau persekitaran kerja yang kurang selamat.

“Lebih menyedihkan apabila, sebahagian kelompok miskin bandar ini sebenarnya bekerja keras dengan upah yang masih lagi rendah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap di majlis perasmian Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar dan Pelancaran Buku-buku Ekonomi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Menurut Khalid, ujuran penduduk di Malaysia bagi tahun 2018 memperlihatkan bilangan mereka yang tinggal di kawasan bandar adalah 24.1 juta orang, manakala kawasan luar bandar kira-kira 7.5 juta orang.

Tambah beliau, Malaysia juga menghadapi masalah peningkatan jumlah isi rumah dalam kawasan perumahan yang bergaji rendah kerana kekangan kos sara hidup.

“Di Malaysia, kita mungkin tidak lagi menghadapi masalah penempatan haram ataupun setinggan yang dibina di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Tetapi kita menghadapi cabaran yang hampir sama terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan perumahan awam iaitu tentang isi rumah yang bergaji rendah, ahli isi rumah yang ramai serta kanak-kanak yang kurang nutrisi.

“Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 yang mengkaji tujuh lokasi penempatan perumahan kos rendah mendapati bahawa sembilan daripada 10 ketua isi rumah mempunyai pekerjaan separuh mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah

“Satu dalam tiga isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, 22 peratus daripada isi rumah mempunyai tiga generasi yang tinggal bersama dan juga masalah nutrisi dalam kanak-kanak.

“Walaupun menerima gaji yang lebih daripada pendapatan garis kemiskinan negara dan pendapatan minimum, golongan ini masih lagi bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar,” tambah Khalid.

Menurutnya, warga bandar yang masih dihimput dengan kos sara hidup menyebabkan wujudnya golongan miskin bandar dan gaji yang berpadanan adalah kaedah yang baik untuk membantu golongan ini.

“Proses urbanisasai berkembang, lantaran banyak peluang dan manfaat yang boleh diterokai seterusnya dinikmati oleh masyarakat setempat dan menarik perhatian masyarakat luar.

“Mana-mana pemerintah yang berhasrat untuk mencapai pembangunan ekonomi perlu bersedia untuk berdepan dengan pertambahan penduduk dan berusaha mengurangkan kesan negatif akibat daripada penumpuan penduduk di kawasan pembangunan tersebut,

Sementara itu, Khalid berkata, kajian terhadap halangan yang wujud juga perlu dilaksanakan terhadap kelompok miskin bandar bagi membolehkan mereka menikmati hidup sejahtera. – MalaysiaGazette