Arkib
Gambar arkib: Rumah FundMyHome pada program FundMyHome di Eco World Gallery @ Eco Majestic, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan lima perkara mengenai Skim FundMyHome kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau yang bersuara mengenai skim itu berkata, berdasarkan promosi untuk pembeli yang dikatakan hanya perlu membayar 20 peratus harga rumah kemudian tidak perlu membayar apa-apa untuk tempoh lima tahun dan baki 80 peratus dibayar peminjam dana atau pelabur atau institusi kewangan.

Najib yang meragui skim tersebut menambah, berdasarkan laporan berita, ‘deposit’ atau bayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus yang dibayar oleh peminjam akan diletakkan dalam satu akaun amanah (trust account) dan akan diguna untuk pembayaran sebagai pulangan pelaburan sebanyak lima peratus setiap tahun kepada peminjam dana, pelabur, institusi kewangan selama lima tahun.

“Saya rasa Menteri Kewangan perlu tanya diri. Jika pembeli rumah mampu membayar 20 peratus ‘deposit’, mengapa pembeli rumah tersebut tidak dapat membeli rumah selama ini dan tidak mendapat pinjaman daripada bank?

“Mengapa pelabur/peminjam dana masih berkongsi keuntungan dengan pembeli rumah jika pembeli berhasrat menjual selepas lima tahun? Sedangkan sepanjang lima tahun tersebut, pelabur/peminjam dana telah menerima pulangan pelaburan lima peratus setiap tahun selama 5 tahun daripada ‘deposit’ 20 peratus yang dibayar oleh pembeli,” kata Najib dalam Facebooknya.

Menurutnya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) diamanahkan untuk mengawal selia mendakwa akan menyemak butiran skim berkenaan pada 5 November, iaitu tiga hari selepas Belanjawan 2019 diumumkan.

Untuk rekod, FundMyHome.Com sebuah platform digital merupakan satu usahasama yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.

Ia dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di Eco World Gallery @ Eco Majestic pada 4 November lepas.

Media sebelum ini melaporkan, melalui skim FundMyHome, jika nilai rumah meningkat dalam masa lima tahun ini, peningkatannya dikongsi dengan peminjam dana 80 peratus.

Jika nilai rumah menurun dalam masa lima tahun ia ditanggung oleh pembeli rumah dan selepas lima tahun, pembeli rumah boleh membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut dengan keuntungan dikongsi dengan peminjam dana sebanyak 80 peratus.

Selepas lima tahun jika tidak ingin jual, pelabur boleh memiliki rumah tersebut sepenuhnya dengan membuat pinjaman perumahan mengikut nilai pasaran.

Tambah Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, kepelbagaian diskaun menerusi skim ini sangat meragukan.

“Perlu diingatkan juga bahawa banyak projek perumahan hari ini yang disertakan dengan pelbagai diskaun. Apa yang akan terjadi kepada semua ini dengan skim FundMyHome seperti ini? Lesap?

“Selepas lima tahun, pembeli rumah tetap kena pergi ke bank dan membuat pinjaman perumahan. Dan pada harga pasaran ketika itu! Jika pada masa itu pembeli rumah masih tidak mampu memiliki rumah dan membuat bayaran ansuran setiap bulan apa akan terjadi kepada mereka? Dihalau keluar dari rumah?

“Apa jadi selepas tamat tempoh lima tahun dan harga hartanah tidak meningkat seperti yang diharapkan? Ditanggung oleh pembeli?” tanya Najib.

“Saya ulang soalan utama saya. Sebenarnya, skim ini nak membantu siapa? Rakyat atau pemaju?,” soalnya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan