China Press melaporkan, mangsa yang berumur 52 tahun berdepan masalah bateri lori ketika menghantar barang kepada pelanggan.
China Press melaporkan, mangsa yang berumur 52 tahun berdepan masalah bateri lori ketika menghantar barang kepada pelanggan.

SHAH ALAM – Seorang penghantar air batu koma selama 13 hari sebelum mati selepas dipukul secara beramai-ramai kerana mencuri bateri.

China Press melaporkan, mangsa yang berumur 52 tahun berdepan masalah bateri lori ketika menghantar barang kepada pelanggan.

Dia kemudian bertindak menukarkan baterinya dengan bateri sebuah lori lain yang terletak berhampiran.

Kejadian itu dikatakan menanamkan rasa dendam apabila pemandu lori bertindak menunggu penghantar air batu tersebut di lokasi sama tiga hari kemudian.

Pemandu lori bersama tiga rakannya dilaporkan mengepung dan menyerang penghantar air termasuk menghentamnya dengan topi keledar.

Penghantar ais yang diserang telah menerima rawatan kecemasan di hospital sebelum dibenarkan untuk berehat di rumah. Dia bagaimanapun menjadi koma pada keesokan harinya sebelum meninggal dunia 13 hari kemudian iaitu pada 1 November.

Kejadian mencuri bateri dan menyerang itu berlaku di satu kawasan menurunkan barang di sebuah pusat komersial di Seksyen 5 di Shah Alam, Selangor.

Menurut sumber, masing-masing pemandu lori dan penghantar ais pernah melapor polis selepas berlaku insiden memukul, namun masing-masing telah membatalkan aduan mereka.

Isteri penghantar air batu bagaimanapun telah membuat semula laporan polis selepas suaminya meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharuddin Mat Tain mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa polis telah menahan empat suspek berumur antara 24 hingga 33 tahun selepas menyemak kamera litar tertutup (CCTV).

Polis sedang melakukan siasatan berdasarkan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – MalaysiaGazette