imbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian pelajar yang hadir pada Program Turun Padang Ke Institusi Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersalaman dengan sebahagian pelajar yang hadir pada Program Turun Padang Ke Institusi Kanak-Kanak di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan lawatan beliau ke Julau, Sarawak Sabtu lalu adalah untuk berkempen calon tertentu.

Tegasnya, lawatan tersebut adalah sebahagian daripada agenda lawatan kerja rasminya ke bumi kenyalang itu.

“Saya hendak berkempen untuk siapa? Saya bukannya bertanding pada pemilihan parti kali ini.

“Sebenarnya, ia adalah lawatan kerja rasmi saya dan jika mengikut jadual sepatutnya, lawatan tersebut berlangsung selepas pemilihan parti yang secara kebetulan telah ditangguhkan.

“Julau adalah sebuah tempat yang menghasilkan lada hitam terbaik di Malaysia, saya sukakan lada hitam malah penduduk di Sarikei juga memberi taklimat kepada saya kerana ia adalah sebahagian daripada tugas rasmi saya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi dekat sini hari ini.

Semalam, ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Latheefa Koya mempersoalkan lawatan Presiden parti itu ke Julau baru-baru ini.

Katanya, Wan Azizah tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk membuat lawatan ke cawangan PKR Julau atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri apatah lagi ketika parti tersebut dalam proses pemilihan terakhir negeri.

Lawatan ke Julau yang terletak di wilayah tengah Sarawak turut membabitkan penggunaan jawatan rasmi beliau dalam Kabinet, selain aset kerajaan, termasuk pengumuman peruntukan RM100,000 untuk membina jalan raya di kawasan itu.

Menurut Wan Azizah, peruntukan yang diumumkan semasa lawatan berkenaan adalah sesuatu yang biasa kerana sebagai pemimpin kerajaan pusat, beliau perlu menunjukkan contoh kepada rakyat bahawa tiada kawasan yang tertinggal daripada perhatian kerajaan.

“Saya peruntukan itu sesuatu yang baik malah Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Jabatan Perdana Menteri juga meluluskan peruntukan berkenaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette