Home Seni Hidup Awie serik dan kecewa terhadap penerbit Hantu Kak Limah

Awie serik dan kecewa terhadap penerbit Hantu Kak Limah

KUALA LUMPUR – Membintangi filem Hantu Kak Limah sebanyak dua kali, Datuk Awie nekad untuk tidak mahu meneruskan kesinambungan jika ia diterbitkan di bawah orang yang sama.

Jelasnya, ini kerana sungguhpun filem itu berjaya mengutip RM38 juta namun bonus yang diterimanya tidak berbaloi.

“Kalau ada sambungan filem ini, saya akan tanya dahulu siapa penerbitnya. Kalau masih penerbit yang sama, saya akan menolaknya.

“Bukannya saya tidak bersyukur dengan bonus yang diterima, tetapi ia langsung tidak berbaloi dengan kutipan dan keringat yang diberikan. Bayangkan, bonus untuk HKL sama seperti bonus yang diterima untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dahulu, sedangkan filem itu sekadar mengutip RM8 juta sahaja,” luahnya.

Ketidakpuasan hati itu bukan sahaja daripada Awie sendiri malah beliau berkata, barisan pelakon lain dan kru filem turut terkesan.

Walaupun Mamat Khalid selaku pengarah filem telah memanjangkan isu tersebut kepada pihak penerbit, Infinitus Gold, namun menurut Awie jawapan yang diterima agak mengecewakan.

“Lagipun saya tak kisah watak saya dimatikan sahaja. Memang tidak ada pelakon yang bersuara, cuma saya seorang yang bangkitkan perkara ini dalam laman sosial.

“Saya tiada masalah dengan Mamat Khalid dan bersedia untuk terus berlakon filem di bawah arahannya. Cuma saya berasa agak terkilan perkara yang berlaku terhadap filem HKL ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette