Dr Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) di Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan penerbitan bon Samurai sebanyak RM200 bilion Yen (RM7.4 bilion) oleh Jepun kepada Malaysia tidak akan melibatkan sebarang pertukaran projek.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara matahari terbit itu juga tidak meletakkan sebarang syarat ketika memperuntukkan bon dengan nilai keseluruhan RM7.4 bilion.

“Ia (bon samurai) boleh digunakan untuk bayar pinjaman atau dibelanjakan untuk membangunkan pelbagai projek.

“Tiada sebarang syarat dikenakan (Jepun ketika memberikan bon itu),” katanya kepada pemberita menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) di sini hari ini.

Mahathir ketika menjelaskan perkara itu berkata, pinjaman mudah bagi tempoh 10 tahun berkenaan berupaya digunakan untuk pelbagai tujuan selain mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Malah katanya, penerbitan bon Samurai yang diumumkan pada Belanjawan 2019 lalu hanya akan digunakan untuk membiayai pinjaman atau dibelanjakan bagi pembangunan negara.

Katanya lagi, penerbitan itu akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon 0.65 peratus dan dijangka terbit sebelum Mac 2019.

Sementara itu, Perdana Menteri mengakui syarikat rel Jepun, JR Kyushu adalah antara peneraju industri berkenaan, justeru Malaysia berupaya menimba pengalaman dan kemahiran berkaitan dari Negara Matahari Terbit itu.

Katanya, Malaysia perlu belajar daripada Jepun tentang bagaimana negara dapat menguruskan pelbagai program pengangkutan yang efisien untuk rakyat.

Ketika menyentuh cadangan pembangunan industri automatif ketiga negara, Dr Mahathir menjelaskan ia adalah usaha diterajui sektor swasta yang mempunyai ‘pilihan terbuka’ dalam memilih teknologi bersesuaian.

Katanya, ia terpulang kepada sektor swasta untuk menguruskannya.

“Mereka boleh pilih Jepun, China atau Korea (untuk menjalin kerjasama). Kita (kerajaan) tidak meletakkan sebarang syarat,” ujar beliau.

Diminta mengulas mengenai hasil rundingan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Mahathir menyifatkan ia bukan tugas mudah, namun kerajaan bertekad supaya keputusan mengenai projek yang dikatakan mampu mengimbangi kemajuan dengan Pantai Barat Semenanjung itu berupaya mencapai kata sepakat. – MalaysiaGazette