Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.39 mata kepada 1,718.03 daripada ditutup pada Khamis, yang menyaksikan ia naik 6.54 mata kepada 1,721.42,

Indeks dibuka rendah 2.14 mata kepada 1,719.28.

Di Bursa, pasaran lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 105 berbanding 71 dengan 171 kaunter tidak berubah, 1,507 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 82.3 juta unit bernilai RM39.91 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.30, PBBank merosot lapan sen kepada RM24.62, manakala Tenaga dan PChem, masing-masing tidak berubah pada RM14.94 dan RM9.70.

Bagi saham aktif, TatGiap menambah 1.5 sen kepada 22.5 sen, Sanichi meningkat satu sen kepada 11.5 sen, Revenue naik enam sen kepada RM1.31 manakala Nexgram, SapNRG dan Vivocom masing-masing tidak berubah pada dua sen, 36 sen dan 2.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah turun 14.96 mata kepada 12,109.44, FBM 70 berkurangan 24.46 mata kepada 13,936.45 dan Indeks FBM Ace meningkat 7.46 mata kepada 5,020.24.

Indeks FBM Emas susut 22.55 mata kepada 11,918.27 dan Indeks FBMT 100 jatuh 22.60 mata kepada 11,758.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 32.94 mata kepada 17,264.09, Indeks Perladangan merosot 0.84 mata kepada 7,368.39, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.12 mata kepada 175.32.

– BERNAMA