resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengaktifkan jentera ‘kejar cukai’ pada November untuk menjejak mereka yang tidak mengisytihar cukai atau kurang membayar cukai.

Selain peniaga, turut menjadi sasaran LHDN ialah pekerja bergaji tetap yang mempunyai pendapatan tambahan tetapi tidak melakukan pengisytiharan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya telah mula mengirim borang-borang berkenaan kepada individu-individu terbabit.

Beliau berkata, sasaran LHDN yang utama ialah tauke-tauke besar dengan fokus kepada Lembah Klang.

Menurutnya lagi, setakat ini belum ada penjaja atau peniaga perusahaan kecil dan sederhana yang dikejar cukai.

Jelasnya, LHDN akan menyiasat aset pembayar cukai termasuk rekod hartanah, kereta dan barangan kemas mereka.

“Kami akan menyiasat dan melakukan audit melalui duti setem untuk hartanah, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan rekod syarikat insurans kereta,”  katanya kepada Sinchew Daily.

Sabin berkata, LHDN telah mengumpulkan  maklumat pihak yang berhutang atau tidak mengisytiharkan cukai.

Menurutnya, mereka yang menerima surat harus membekalkan maklumat yang diminta dalam tempoh 30 hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Dalam Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa mereka yang menyerah diri sebelum 30 Jun 2019 akan menikmati kompaun kadar diskaun iaitu dikenakan denda 10 hingga 15 peratus berbanding kadar denda maksimum 80 peratus yang dikenakan ke atas jumlah yang tidak dibayar. – MalaysiaGazette