Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya tidak akan membuat permohonan maaf terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor.

Beliau yang dihubungi MalaysiaGazette dalam masa yang sama menegaskan kesediaan  menghadapi mana-mana individu jika mereka mahu mengambil tindakan mahkamah terhadapnya.

“Pada saya, saya punya Facebook jelas apa yang saya sebut. Pada posting itu jelas, siapa nak buat andaian terpulang, kalau nak ambil tindakan saya tidak kisah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Beliau selain itu berkata tidak mengenali Shatiri.

“Siapa dia ini? Saya tidak kenal dia ni Shatiri yang mana,” katanya.

Shatiri hari ini dalam sidang medianya menuntut Latheefa membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam atau berhadapan dengan tindakan saman atas postingnya di Facebook pada 16 Oktober yang lalu berhubung kupon makanan yang diedarkan semasa program sembang santai.

Latheefa ketika melampirkan gambar kupon yang tertera ‘Team Rafizi / Shatiri menggunakan ayat :”kalau nak dapatkan kupon – kena undi aku dulu #akusucidalamdebu”.

Shatiri berkata, kupon tersebut tidak digunakan untuk meraih undi, sebaliknya diedarkan kepada jentera dan urusetia program pada waktu itu.

Selain permohonan maaf, Latheefa yang dianggap memfitnahnya dalam masa yang sama dituntut untuk memadam postingnya dan memberi jaminan tidak akan membuat ulasan berkenaan perkara itu kelak. -MalaysiaGazette

Latheefa Koya digesa minta maaf atau berhadapan saman