Gerakan
Timbalan Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Andy Yong Kim Seng bercakap pada sidang media bagi bertanding jawatan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) di Ibu Pejabat PGRM, Menara PGRM, Jalan Pudu Ulu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – MCA boleh menjadi sebuah gabungan dalam parti Gerakan sekiranya parti itu dapat mengikis ideologi perkauman, kata calon Presiden Gerakan, Andy Yong Kim Seng.

Menurutnya, demi kelangsungan dan masa depan Gerakan, mana-mana parti politik dipelawa untuk bersama dalam perjuangan mereka termasuk MCA asalkan parti itu dapat menerima ideologi yang dibawa.

Malah kata belau, parti yang diwakilinya pasti akan mengenakan syarat terutamanya dalam aspek penerimaan parti yang mahu bergabung dengan konsep kesejahteraan masyarakat majmuk.

“Saya tidak boleh menafikan untuk masa depan akan datang kalau ada mana-mana parti yang mahu (bergabung) seperti dalam ideologi kami, kita boleh terima.

“Kalau MCA berniat nak bergabung dengan kami tentu sekali kami tidak akan bersetuju jika (MCA) masih amal racial politik (politik perkauman),” katanya yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Pemuda parti Gerakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengenalan manifestonya sebagai calon Presiden Parti Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Andy berkata, perkara tersebut pernah dibincangkan oleh beliau dengan bekas ketua pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Bagaimanapun katanya, segala pandangan menerusi perbincangan mereka berdua itu hanyalah daripada sudut dan persepsi Sin Woon dan tidak mewakili MCA.

Dalam pada itu Andy berkata, parti Gerakan kini sudah menjadi sebuah parti yang mempunyai banyak kelainan berbanding dahulu.

Katanya, dalam menempuh situasi yang sukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu hingga terpaksa berpisah dengan Barisan Nasional, parti tersebut bangkit dan membuat pelbagai pembaharuan untuk membina semula sebuah gerakan yang kuat.

Sebelum ini Gerakan mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.

Langkah tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor susulan kekalahan terus BN pada PRU-14 yang lalu.

Keputusan turut dibuat ekoran melihat pandangan ahli-ahli akar umbi selain selari dengan usaha untuk memperkukuhkan semula parti. – MalaysiaGazette