S. Gobi Krishnan
S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Hak Minoriti (MiRA) dukacita dengan sebuah institusi pengajian tinggi hendak menganjurkan program diskusi mempertikaikan satu komuniti yang sudah sekian lama menjadi warganegara dan menyumbang begitu banyak kepada pembangunan negara.

Timbalan Presidennya, S. Gobi Krishnan menyifatkan program itu sebagai memalukan, ketika kerajaan berada dalam Malaysia Baharu yang sepatutnya semua rakyat tinggal dan menolak ke tepi soal rasis.

Katanya, Malaysia baharu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba untuk menolak perkara yang menimbulkan kebencian antara kaum.

“Amat memalukan program seumpama ini dianjurkan ketika kita berada dalam era Malaysia Baharu, yang sepatutnya kita menolak perkara menimbulkan kebencian antara kaum dan setiap rakyatnya tanpa mengira kaum serta agama benar-benar dapat berbangga sebagai rakyat Malaysia.

“Namun begitu, nampaknya masih wujud lagi sisa-sisa Malaysia lama yang ingin mewujudkan sikap curiga antara kaum di negara ini. Sisa-sisa Malaysia lama ini harus kita nyahkan dengan segera sebelum ianya menimbulkan kemudaratan dalam negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk Siri Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal diadakan 14 November ini.

Siri wacanan itu bertajuk ‘Polemik Kehadiran Masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau Imigran?

Menurut S. Gobi, apakah tujuan UKM menganjurkan program berkenaan, apatah lagi dengan tajuk kontroversi seumpama itu.

“Polemik apa yang berlaku dengan kehadiran masyarakat India, dan panelnya pula terdiri daripada satu kaum sahaja.

“Mengapa tidak dijemput ahli panel daripada kaum lain? Nampak sangat ingin berdiskusi dengan sikap perkauman sempit menebal atau lebih tepat lagi disebut sikap ketuanan palsu.

“Kami menyeru Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa yang bertanggungjawab untuk perpaduan supaya segera menangani isu ini sebelum melarat,” katanya.

Beliau berkata, negara sudah merdeka lebih 60 tahun, sepatutnya pemahaman antara kaum terutamanya mengenai kaum minoriti harus lebih baik.

Bagaimanapun, ujarnya, apa yang menyedihkan ianya masih lagi ditakuk lama dalam kalangan sebahagian besar masyarakat majoriti.

“Kalau program itu masih diteruskan, kami dari Parti MiRA yang terdiri dari masyarakat India, India Muslim, Sikh, Punjabi, Orang Asli, Siam, Baba Nyonya, Chindian dan lain-lain kaum minoriti akan menghadirkan diri, semata-mata untuk memperbetulkan fakta yang salah ini dan juga untuk membuka mata segelintir kaum majoriti yang buta sejarah.

“Kami juga berharap pihak ATMA UKM dapat menganjurkan satu program wacana yang membincangkan mengenai Polemik kehadiran Masyarakat Indonesia di Semenanjung Malaysia yang nampak begitu senang memperolehi kerakyatan sampai ada yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan sebelum ini, yang kami kira satu isu lebih besar dan benar-benar memerlukan perhatian segera,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan