Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berjalan keluar dari mahkamah selepas menghadapi pertuduhan berhubung kes rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak dituduh sebelum ini kerana keputusan Pejabat Peguam Negara.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, ini kerana Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

”SPRM telah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik. Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik,” kata kenyataan itu.

Ia bagi menjawab laporan berita yang memetik Perdana Menteri, Tun Dr . Mahathir Mohamad meminta SPRM menjelaskan kenapa Musa tidak didakwa sebelum ini.

SPRM bagaimanapun telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula. Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Beliau telah dituduh pada 5 November lalu. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/08/tentu-ada-alasan-kenapa-ghani-tak-dakwa-musa/