Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media sambil diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu tidak ada desakan daripada Pergerakan Pemuda UMNO dan sayap parti itu memintanya bercuti dari jawatan presiden parti.

Beliau berkata, apa yang diminta oleh Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada Mesyuarat Exco sayap itu baru-baru ini ialah mencadangkan beliau bercuti untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Tak ada perbincangan dalam mesyuarat MT hari ini meminta presiden cuti..tak ada. Pemuda hari itu mencadangkan untuk mempertimbangkan,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung kenyataan Asyraf Wajdi baru-baru ini.

Ditanya agenda mesyuarat MT hari ini, beliau memberitahu, mereka membincangkan bagaimana untuk mengukuhkan institusi kepresidenan UMNO dengan parti harus bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan perjalanan parti.

Katanya, setiap perbezaan pendapat akan dititiknokhtahkan apabila masing-masing mahu kepimpinan UMNO di semua peringkat menolak usaha memecahkan parti sama ada dari dalam mahu pun luar.

Mengenai pendirian Ahli Parlimen UMNO, Ahmad Zahid yakin kesemua 48 ahli parlimennya akan tetap bersama beliau dan parti, dengan sebarang keputusan yang dibuat secara bersama. – MalaysiaGazette