Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Jangan takut untuk menutup sekolah jenis kebangsaan atau vernakular jika menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Exco Armada Nasional, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir kepada Charles Santiago yang merupakan Ahli Parlimen DAP.

Menurutnya, Ahli parlimen Klang itu sepatutnya akan bersedia untuk bertindak demikian demi mengangkat identiti sebenar Malaysia khususnya dalam aspek bahasa dan pendidikan.

“Saya selaku Exco Armada Malaysia ingin kembali menyarankan kepada saudara Charles Santiago berdasarkan anjuran ‘Jangan Takut’ beliau ke atas Armada, pada hemat saya sudah tiba masanya jangan takut juga kepada beliau untuk mengangkat identiti sebenar Malaysia yang berteraskan perlembagaan dan sekiranya ikhlas kita harus berbalik kepada asas antaranya bahasa dan pendidikan.

“Maka sekolah vernakular seharusnya diserap menjadi Sekolah Kebangsaan dan Bahasa Melayu diangkat dan digunapakai sepenuhnya sepertimana peruntukan perlembagaan sebagai Bahasa Rasmi.

“Buat Charles Santiago dan barisan pendokong ICERD, jangan takut untuk pulangkan peruntukan bajet kepada sekolah jenis kebangsaan atau sekolah vernakular dan jangan pula takut untuk menutup sekolah vernakular!,” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Charles yang berkata sayap PPBM dan Umno seharusnya tidak bimbang dan takut terhadap proses ratifikasi ICERD kerana ia tidak akan membatalkan hak istimewa orang Melayu atau Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Mengulas lanjut, menyokong ICERD juga sepatutnya tidak ada amalan pemisahan kaum diamalkan di sekolah-sekolah.

“Kerana ratifikasi ICERD seperti menurut kata saudara tidak akan mengganggu Hak Orang Melayu dan Kedudukan Islam maka saya bersetuju dan benarlah kata saudara kerana melalui asasnya Perlembagaan Persekutuan, Ratifikasi ICERD bererti penerimaan kepada asas ‘Asimilasi Sistem’ yang digagaskan dalam pembentukan Malaysia sejak terpasaknya Perlembagaan Persekutuan.

“Maka benar Hak Orang Melayu tidak boleh disentuh sepertimana berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, tetapi bagi mengimplementasikan ICERD atau meratifikasikannya, semestinya saudara harus mula menolak Doktrin Pemisahan,” tambahnya.

Mohd Ashraf sebelum ini menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang menyebut beberapa klausa dalam perlembagaan mungkin perlu dirombak, agar tidak memberi kerisauan kepada masyarakat bumiputera menerusi usaha menandatangani ICERD. – MalaysiaGazette