Mohd Faiz Mohd Nasir. foto: FB TFC

KUALA LUMPUR – Sembilan pemain sah meninggalkan naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) untuk menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan.

TFC dalam satu kenyataan ringkas dalam laman Facebook mereka hari ini memaklumkan sembilan pemain berkenaan adalah J.Partiban, Fitri Omar, Muhammad Fauzi Abdul Kadar, Abdul Latiff Suhaimi, Azi Shahril Azmi,Mohd Faiz Mohd Nasir , pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun selain dua penjaga gol simpanan, Muhammad Syazwan Yusoff dan Mohd Faizal Yusof.

Partiban sah kembali menyarung jersi negeri kelahirannya, Perak manakala Mohd Faiz yang mendapat jolokan ‘Messi Terengganu’, dilaporkan berada dalam radar pasukan Melaka.“Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat kesemua pemain yang akan bersama pasukan baru pada musim hadapan dan diharap karier semua bekas pemain TFC ini akan terus menerus berkembang di masa-masa mendatang.

“Keluar dan masuk pemain dalam mana-mana pasukan adalah perkara biasa dan ianya adalah hak buat pemain untuk berhijrah dan menerima pengalaman baru. TFC amat menghormati dan menyanjung tinggi semua pemain yang pernah menabur bakti buat pasukan ini. Ikatan persaudaraan bersama seluruh peminat bola sepak Terengganu tidak akan putus,” jelas TFC dalam kenyataan tersebut.

Sebagai rekod, TFC menampilkan aksi cemerlang pada musim ini selepas muncul naib juara Piala Malaysia selain menduduki tangga kelima daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super, namun sekadar mara sehingga ke pusingan ketiga Piala FA. – MalaysiaGazette