Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran berucap pada Program Town Hall Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) di HGH Convention, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus Koperasi (GOC) mendapati terdapat bukti penyalahgunaan dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) melibatkan sesetengah penyedia latihan dan kakitangan pengurusan agensi itu atas nama latihan.

Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran berkata, Lembaga HRDF hanya dimaklumkan selepas wang dibelanjakan sekali gus pengurusan dilihat melebihi kuasa lembaga dan projek yang diluluskan melebihi had dibenarkan.

“Siasatan terhadap kesalahan di HRDF masih berlaku, di mana jumlah wang besar telah dialihkan tanpa kuasa Lembaga HRDF untuk program latihan kurang impak.

“Wang berjuta-juta digunakan untuk membeli harta tanpa kebenaran daripada Lembaga HRDF;

“Malah, gaji dan bonus yang tinggi telah dibayar kepada kakitangan pengurusan terpilih tanpa kelulusan Lembaga HRDF,” katanya berucap merasmikan HRDF Town Hall di Pusat Konvensyen HGH di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kula memberi jaminan kerajaan akan menyiapkan laporan penuh siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana sebanyak RM300 juta milik tabung HRDF yang siap sepenuhnya pada hujung Oktober.

Kula juga berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan mengejar semua pihak terbabit dalam salah laku berkenaan melalui prosiding sivil dan jenayah.

“Kami akan serahkan segala dapatan siasatan daripada laporan mengenai HRDF ini kepada pihak berkuasa atau polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, laporan mengenai salah guna dana HRDF juga mendedahkan beberapa ahli Lembaga Pengarah HRDF tidak mengisytiharkan kepentingan mereka kepada lembaga pengarah.

“Ini yang berlaku dalam kerajaan lepas dan ia sudah berakhir (salah laku)

“Berhubung dengan 30 peratus Dana Disatukan, sumbangan anda tidak boleh digunakan untuk melatih bukan penyumbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette