Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Deepavali bahagian Titiwangsa ‘Cahaya Bollywood’ di Pasar Jalan Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak akan meneruskan cada­ngan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar khusus untuk pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, ini kerana cadangan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini hanya akan melebarkan jurang antara pelajar di luar bandar dengan di bandar.

“Objektif utama penubuhan MRSM adalah membantu pelajar miskin dan luar bandar dengan memberi peluang kepada mereka untuk belajar dalam persekitaran yang le­bih selesa.

“Namun cadangan MRSM berbayar itu hanya akan membuat jurang antara mereka dengan pelajar bandar akan menjadi lebih luas.

“Jadi kerajaan tidak akan meneruskan cadangan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen tersebut berkata, kekurangan jumlah pelajar bukan Bumiputera di MRSM dan tidak memenuhi syarat kuota 10 peratus bergantung kepada permohonan.

Jelas beliau, pengambilan di MRSM berdasarkan permohonan dan tiada paksaan jika pelajar bukan Bumiputera tidak berminat.

“Tiada isu sebenarnya tentang kuota pelajar bukan Bumiputera di MRSM tidak penuh kuota.

“Terpulang kepada pelajar untuk memohon dan jika tiada permohonan bagaimana pengambilan hendak dibuat,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan timbalannya, R Sivarasa yang menggalakan pelajar Cina melanjutkan pelajaran di MRSM kerana mutu kursus ditawarkan setaraf dengan peringkat antarabangsa.

Dalam temubual bersama akhbar Sin Chew itu hari ini, beliau amat terkejut apabila mendapati ramai bukan Bumiputera tidak mengetahui langsung adanya kuota 10 peratus terbuka kepada pelajar bukan Bumiputera di MRSM. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan