Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran bercakap pada sesi soal jawab pada Program Town Hall Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) di HGH Convention, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Dua laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Elanjelian Venugopal berhubung salah laku termasuk kehilangan RM300 juta dana agensi itu sejak pentadbiran lalu.

Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran berkata, antara salah laku dan pelanggaran tata etika oleh sebahagian pengurusan HRDF lepas ialah menggunakan dana tanpa memaklumkan lembaga pengarah dan pecah amanah.

“Laporan polis sudah dibuat dan maklumat lengkap mengenainya kita tidak boleh didedah kepada umum kerana ia terikat di bawah Akta Fitnah 1957 dan seumpama dengannya.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pelaku termasuk salah guna, maka  CEO yang membuat laporan itu.

“Kalau CEO tak buat laporan polis, ia tidak membantu kepada Town Hall HRDF hari ini. Bila tahu semua perkara ini, bagaimana tiada tindakan diambil,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen HGH, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kula memberi jaminan kerajaan akan menyiapkan laporan penuh siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana sebanyak RM300 juta milik tabung HRDF yang siap sepenuhnya pada hujung Oktober.

Kula juga berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan jika ada kes, pihak polis boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“Selepas kita (Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan, tiga pengarah HRDF letak jawatan (termasuk CEO).

“Kalau mereka buat salah laku itu (seleweng dana HRDF), kita akan ambil tindakan,” katanya.

Kula turut mengesahkan penyelewengan dana itu juga membabitkan pembelian hartanah di negara ini tanpa mendedahkan butiran lengkap mengenai salah laku terbabit.

“Jumlah salah guna dana HRDF tidak dapat dipastikan. Hanya beberapa juta telah digunakan.

“Dana itu juga digunakan membeli hartanah di negara ini dan bukan di China,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan