OKU
Gambar hiasan

GOMBAK – Golongan graduan orang kelainan upaya (OKU) menggesa kerajaan membeli memberikan peluang dan ruang yang adil dan setanding dengan graduan normal yang lain.

Apa yang diminta bukan dengan ‘menyuap’ tetapi jangan meminggirkan golongan ini atas sebab kekurangan mereka.

Ini kerana, golongan tersebut mampu berjaya dan berdikari cuma mereka memerlukan perhatian sewajarnya.

Rata-rata graduan OKU yang ditemui MalaysiaGazette menaruh harapan tinggi kepada kerajaan baharu agar tidak sesekali memandang mengenepikan OKU.

Pemenang Anugerah Pengiktitrafan Khas Untuk Pencapaian Luar Biasa, Azrulkhan Hasrullah Matsah, 26, berkata, golongan OKU tidak boleh didiskriminasi kerana kejayaan  tidak mengira latar belakang kehidupan seseorang.

MGF10112018_MAJLIS KONVOKESYEN UIAM19
Azzrulkhan Hasrullah

Katanya, tidak kira kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) perlu memberi peluang kepada OKU untuk bersaing dalam apa juga bidang.

“Kalau boleh, mana-mana NGO dan kerajaan untuk beri perhatian kepada orang kelainan upaya.

“Kami nak OKU keluar dari medium atau dimensi kebajikan. Kami juga mahu semua pihak menjadikan OKU sebagai saham untuk negara juga.

“Kita tidak mahu dianggap sebagai beban tetapi sebagai aset negara,” katanya yang merupakan graduan Kuliah Islam Ilmu Sains Manusia.

Beliau ditemui pada Majis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Azrulkhan merupakan salah seorang graduan OKU dari universiti berkenaan yang mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkak hingga ‘base camp‘ Gunung Everest pada Mei lalu.

MGF10112018_MAJLIS KONVOKESYEN UIAM20
Nur Amalina Kamsani

Sementara itu, rakannya Nur Amalina Kamsani pula menaruh harapan agar kerajaan terus memberi sokongan kepada komuniti ini bukan sahaja di universiti tetapi juga ketika berada di luar.

Katanya, golongan OKU boleh berjaya seperti manusia normal menerusi sokongan sosial dan moral oleh kerajaan serta bantuan-bantaun yang sepatutnya.

“OKU bukan hanya duduk di rumah atau diam. Mereka semua boleh berjaya kalau ada sokongan.

“Untuk membantu mereka, kita tak semestinya bagi duit tetapi pastikan keperluan kami dijaga,  Kadang-kadang di universiti ada kekurangan dana untuk membaik pulih fasiliti OKU,” ujarnya.

Bagaimanapun, Atiqah Othman mahu kerajaan memberikan sokongan dalam aspek bantuan kewangan.

MGF10112018_MAJLIS KONVOKESYEN UIAM21
Atiqah Othman

Graduan itu berkata, dia menghadapi masalah kewangan hingga keluarganya terpaksa membantu menampung perbelanjaan pengajiannya kerana beliau mengikuti ijazah berganda.

Ujarnya, keadaan bertambah sukar apabila hanya bapanya, seorang kakitangan Telekom Malaysia Berhad membiayai pengajiannya tanpa bantuan sesiapa.

“Saya harap kerajaan bantulah mahasiswa OKU. Macam saya, masa buat ijazah pertama dapat (bantuan) tapi masa buat ijazah kedua tak dapat,” ujarnya.

Pada konvokesyen itu seramai 4,449 graduan menerima skrol di peringkat ijazah sarjana muda manakala 964 graduan diperingkat sarjana dan doktor fasafah.

Majlis tersebut berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan dijadualkan mempunyai tujuh peringkat sidang. – MalaysiaGazette