Wan Saiful Wan Jan
Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membuat pengumuman rasmi berhubung ketidakupayaan parti pemerintah itu untuk menunaikan janji-janji pilihan raya lalu.

Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin kerajaan baharu perlu mengakui sukar menunaikan janji khususnya melibatkan pinjaman pendidikan.

“Kita kena akui apa fakta sebenarnya hakikat sebenarnya ada benda tak boleh buat, ada benda boleh buat

“Mana yang boleh buat kita lakukan, mana yang tak boleh saya rasa elok kita umum dan minta maaf.

“Tapi keputusan ini perlu datang daripada mungkin Majlis Presiden PH, diumumkan secara rasmi,” katanya kepada pemberita di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di sini, hari ini.

Wan Saiful Wan Jan
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bersama perwakilan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan selepas Persidangan Tahunan 2018 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Wan Saiful merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018 dan pelancaran 10 teras manifesto badan bukan kerajaan itu, di sini.

Wan Saiful selaku pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga berkata, selagi pimpinan tertinggi PH tidak menyatakan pendirian berkenaan, sukar buatnya untuk melaksanakan dasar kerajaan baharu.

“Saya suarakan pandangan ini, selagi mana tiada pengumuman rasmi, agak sukar bagi kami sebagai pelaksana dasar-dasar di bawah, kita nak buat atau tidak.

“Saya harap ada penjelasan lebih tuntas dan kita perlu ada sikap rendah diri sebagai pembuat dasar dan akui yang mana kita boleh dan yang mana kita tak boleh buat, itu saja, lepas itu baru boleh bergerak ke depan,” katanya.

Ditanya tentang cadangan itu sudah dibincangkan dengan Majlis Presiden atau Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, beliau bagaimanapun berkata, perkara itu sudah disuarakan dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini.

“Di peringkat PTPTN kita ada cadangan-cadangan kita diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 baru-baru ini.

“Anggapan saya ialah ia telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi negara. Kami dalam PTPTN akan merangka macam mana nak melaksanakan pengumuman-pengumuman itu,” katanya.

Katanya lagi, PTPTN akan membuat pengumuman mengenai pelaksanaan dasar bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam berpendapatan lebih RM1,000 dalam masa terdekat.

“Mungkin bermula sekitar Disember ini kita akan mulakan pertemuan dengan pihak berkepentingan termasuk golongan belia, persatuan pelajar serta NGO, , agensi kerajaan serta majikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette