Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

GOMBAK – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengelak daripada menjawab mengenai statusnya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pada sidang medianya selepas merasmikan Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 yang bermula hari ini, Maszlee menggesa media agar tidak menjadikan perkara tersebut sebagai bahan berita.

Sebaliknya, beliau mahu agar laporan yang ditulis menjurus kepada peristiwa bersejarah mengenai konvokesyen yang sedang berlaku di universiti itu.

“Orang tengah menghadapi satu peristiwa yang bermakna, bersejarah, memberi skrol, awak nak bawa berita khabar angin seperti ini. Saya rasa tidak sesuai, kita tangguhkan di waktu lain.

“Tetapi bukan hari ini dan bukan waktu itu, saya tahu anda semua rakyat Malaysia yang memiliki sikap saling menghormati dan ini adalah sikap kita,” katanya.

Maszlee menjelaskan, beliau akan menjawab atau membincangkan mengenai perkara tersebut pada sidang media yang lain.

Maszlee sebelum ini dilapor akan melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dalam masa terdekat.

Menurut laporan itu, keputusan dibuat selepas Maszlee mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk diberi nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Desas-desus itu dikuatkan lagi apabila Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia, Khalid Ismath dalam hantaran terbaharu di laman sosialnya mendakwa Gerakan Mahasiswa 2018 berjaya meyakinkan Kabinet dalam usaha menyingkiran Maszlee. – MalaysiaGazette