Wan Saiful Wan Jan
Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan berucap merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan Tahunan 2018 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli dan pemimpin lama dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu bersikap besar hati untuk menerima kemasukan ahli-ahli khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan berkata, tidak wajar ruang itu disekat dan proses itu bagi membolehkan parti Melayu itu terus berkembang.

“Saya pun ahli baru tapi saya diterima dengan agak baik oleh orang parti. Kita terutamanya orang lama ini perlu bersikap besar hati untuk menerima ahli-ahli baharu.

“Kita perlu terima hakikat minat untuk orang menyertai kita amat besar sekarang,” katanya kepada pemberita di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di sini, hari ini.

Terdahulu Wan Saiful merasmikan Persidangan Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018 dan pelancaran 10 teras manifesto badan bukan kerajaan itu, di sini.

Wan Saiful juga menafikan perkara tersebut sebagai satu pergolakan yang sedang berlaku dalam PPBM, sebaliknya mereka sukar terima hakikat bahawa semakin orang berminat sertai parti itu selepas PRU14.

“Ia bukan isu pergolakan, saya rasa kita kena faham bahawa ada orang yang menyertai perjuangan sebelum pilihan raya, ada orang menyertai perjuangan selepas pilihan raya.

“Dalam kalangan mereka ada beberapa proses adaptasi yang perlu berlaku untuk menerima ahli keluarga baharu

“Ia hanya proses perubahan saja, saya rasa kita uruskan dengan baik sekali, ikutkan kita tidaklah bergolak teruk sangat,” katanya.

Katanya lagi, pihak pimpinan PPBM dan negeri sedang giat menyelesaikan kemasukan ahli-ahli baharu yang disekat permohonannya hingga menimbulkan persepsi negatif.

“Saya juga ahli majlis tertinggi PPBM dan kita mendapat komentar daripada ahli-ahli di peringkat bawah terutamanya mereka yang berminat masuk parti.

“Kita akui dakwaan mengatakan ada sebahagian pimpinan sekarang pegang jawatan tidak membuka ruang kepada orang baru masuk.

“Ini semua sedang diuruskan oleh ahli majlis tertinggi parti dengan kerjasama badan pimpinan peringkat negeri.

“Kita sedar isu itu dan pernah disuarakan oleh beberapa orang dan kita sedang uruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan