Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KOTA BHARU –  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegur penjawat awam yang tidak menerima prinsip demokrasi sekali gus enggan menerima kepimpinan baharu kerajaan.

Dr Mahathir berkata, apabila diri mereka telah diikat sebegitu rupa, penjawat awam lebih mengutamakan kesetiaan kepada parti dan apabila kerajaan baharu didirikan, ia berdepan masalah oleh sebab ada di antara mereka ini yang masih mengikatkan diri dengan parti lama.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam sepatutnya mematuhi dasar berkecuali dan dasar demokrasi demi pembangunan negara yang lebih berkesan.

“Ada pegawai yang terikat dan tidak sanggup mengiktiraf kerajaan yang baharu ini dan ini tidak baik untuk masa depan negara walaupun kerajaan memahami perkara itu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menasihatkan agar penjawat awam lebih profesional demi pembangunan negara dan bukannya untuk kepentingan pihak tertentu.

Mengenai Kelantan, Dr Mahathir berkata perbezaan politik bukan bermakna negeri itu tidak boleh dibangunkan bersama dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya hendaklah saling membantu ke arah itu.

“Jangan taksub kepada parti dan jangan jadi sebab tidak boleh menyumbang untuk pembangunan. Saya bukan meraih sokongan tetapi saya bercakap soal kebenaran. Kalau tidak nanti ia akan jadi bermasalah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan