Penyanyi, (dari kiri) Misha Omar, Noryn Aziz dan Siti Sarah bergambar pada sidang media Konsert Soul Sisters di Acme Bar & Coffee, Pavillion Elite, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Sarah menepis dakwaan suara-suara nakal bahawa Konsert Soul Sisters yang disertainya bersama Misha Omar dan Noryn Aziz akan berlakunya perang vokal.

Sarah menegaskan, konsert yang melibatkan ramai artis tidak sepatutnya wujud elemen untuk menunjuk-nunjuk vokal siapa yang hebat.

“Tiada perang vokal sebaliknya kena ada kombinasi agar wujud keseimbangan terutama ketika segmen berduet.

“Pada masa sama, kami kena bekerjasama kerana konsert ini peluang kepada kami untuk membuka mata masyarakat untuk menilai bakat kami,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media Konsert Soul Sisters di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Misha Omar dan Noryn Aziz.

Mereka bakal bergabung suara dalam konsert tersebut di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 5 dan 6 April tahun depan.

Siti Sarah memberitahu, dia pada mulanya terkejut dan kehilangan kata-kata apabila ditawarkan oleh Edd Razhe Entertainment untuk menyertai konsert berprestij ini.

Penyanyi lagu Semakin ini menganggap peluang yang diberikan itu merupakan rezeki setelah kembali aktif sebagai penyanyi.

“Saya terkedu apabila ditawarkan menyertai konsert ini. Tak mungkin saya menolak peluang keemasan ini,” katanya.

Pada konsert itu, setiap penyanyi akan mempersembahkan empat lagu solo masing-masing dan lapan lagu secara medley.

Istimewanya, satu single baharu nyanyian mereka bertiga berjudul Bersatu Suara akan turut diperdengarkan pada hari konsert nanti.

Tiket-tiket berharga RM755, RM555, RM355, RM255 dan RM155 boleh ditenpah mulai Khamis ini menerusi laman sensawang www.airasiaredtix.com – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan