Rafizi Ramli

JULAU – Walaupun pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini merupakan yang paling sengit dan ramai mengatakan ianya akan membawa perpecahan dan perbalahan di kalangan ahlinya, namun calon timbalan presiden Rafizi Ramli tidak menganggap sedemikian.

“Kami adalah reformis. Kami telah hadapi banyak krisis selama 20 tahun dan saya tidak fikir pemilihan parti kali ini akan membawa kepada perpecahan dalam parti, sekurang-kurangnya untuk saya dan rakan-rakan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Julau, pusat e-voting cabang PKR Julau, di sini hari ini.

Dalam pemilihan PKR kali ini, Rafizi menghadapi pencabar tunggalnya yang juga merupakan penyandang jawatan tersebut Datuk Seri Azmin Ali yang pada masa ini mendahului dengan kelebihan 2,600 undi.

Katanya, beliau yakin jika berlakunya sebarang perpecahan, presiden PKR yang dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat memperbaiki hubungan sesama ahli selepas pemilihan itu.

Mengenai isu keahlian PKR di Julau yang menjadi kontroversi sepanjang tempoh pemilihan ini, Rafizi berkata, 13,000 ahli tersebut telah diluluskan oleh pengerusi Jawatankuasa Semakan Keahlian Xavier Jayakumar, yang berada di kem Azmin.

“Apabila Larry Sng dan penyokongnya mula-mula menyertai PKR, Azmin yang rapat dengan mereka, bukan kami. Kami tidak pernah mempersoalkan keanggotaan tersebut kerana ia telah dibuat mengikut peraturan dalam parti.

“Orang yang telah meminta Majlis Pimpinan Pusat menerima kemasukan keahlian secara pukal ialah Zuraida Kamaruddin (Ketua Wanita PKR). Perkara ini menjadi isu hanya selepas Julau memutuskan untuk memilih saya,” kata Rafizi yang bersimpati dengan Larry Sng, yang menerima banyak tekanan akibat perkara itu.

Bilangan ahli di Julau dikatakan meningkat dari 603 pada 26 Jun hingga 13,000 ahli pada hari berikutnya.

Rafizi berkata, daripada jumlah itu kira-kira 3,000 hingga 4,000 ahli telah keluar mengundi dan beliau yakin keputusan akan memihak kepadanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan