Wan Azizah
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka mengakui berkemungkinan wujud ‘perosak’ dalam parti itu sehingga berlakunya krisis dalam pemilihan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau dengan tegas menyatakan perkara itu harus segera ditangani terutamanya melalui siasatan telus yang telah diamanahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Jelas Wan Azizah yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri, ‘musuh’ dalam selimut itu dikatakan punca mengapa berlakunya krisis pemilihan di Julau, Sarawak semalam sehingga menyebabkan dalam kalangan kepimpinan melahirkan kegusaran mereka.

“Kita tidak boleh nafikan kemungkinan wujudnya ‘infiltrator’ yang meyusup masuk untuk merosakan parti ini. Kita tidak boleh biarkan perkara ini.

“JPP telah diamanahkan untuk menyiasat kepincangan yang sedang dihadapi ketika ini. Kita juga tidak nafikan pelbagai masalah dihadapi kerana anggota kita juga semakin hari semakin ramai,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Kecoh seketika di Julau apabila pegawai pilihan raya PKR, Deshmond Kho ditahan oleh polis ekoran serangan siber dalam sistem undian.

JPP turut mengesahkan sebanyak empat tablet yang megandungi sistem undian telah digodam oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan kesahihan insiden tersebut.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din juga mengesahkan penggodam cuba memasukkan perisian intip itu ke dalam 10 tablet yang digunakan untuk proses pengundian.

Sebelum itu, dakwaan itu telah ditimbulkan oleh calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli bahawa pemilihan dikawal dari jauh selepas tablet itu diisi dengan perisian ‘Prey’.

Proses pemilihan PKR juga telah dicemari dengan pelbagai krisis termasuk pergaduhan antara kem tertentu seluruh negara.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak boleh mencampuri urusan pemilihan parti, sebaliknya menyerahkan hal itu kepada JPP.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata, walaupun ramai pihak yang mendesaknya untuk berbuat sesuatu tetapi parti telah membuat keputusan bahawa apa sahaja urusan pemilihan akan dikendalikan JPP.

Kata Anwar, walaupun beliau telah mendapat maklumat berkaitan beberapa cubaan untuk mengganggu urusan pengundian seperti kerosakan tablet, serangan siber dan sebagainya, tiada apa yang boleh dibuat kerana semua berada di bawah bidang kuasa JPP. –MalaysiaGazette