Ejen kereta terpakai telah melakukan penipuan dengan mengutip RM1,800 sebagai yuran pemeriksaan Puspakom daripada pelanggan, sedangkan yuran yang dikenakan hanyalah RM90.

KUALA LUMPUR – Ejen kereta terpakai telah melakukan penipuan dengan mengutip RM1,800 sebagai yuran pemeriksaan Puspakom daripada pelanggan, sedangkan yuran yang dikenakan hanyalah RM90.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, pemeriksaan B5 dan B7 untuk tujuan tukar nama dan pinjaman masing-masing hanyalah berharga RM30 dan RM60 iaitu berjumlah RM90.

Namun begitu, ada ejen yang terlibat dalam penjualan kereta terpakai mendakwa yuran yang dikenakan Puspakom ialah RM1,800.

“Orang tengah ini telah mengaut keuntungan manakala Puspakom yang mendapat nama buruk,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, bagi mengelakkan peranan orang tengah, Puspakom telah memperkenalkan kemudahan pemeriksaan bergerak.

“Kalau tiada masa untuk menghantar kenderaan untuk diperiksa, syarikat atau individu berkenaan boleh melakukan temu janji dengan Puspakom bagi menikmati kemudahan pemeriksaan bergerak.

“Pasukan kami akan bertandang ke tempat yang dikehendaki untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, pelanggan yang mahu melakukan pemeriksaan bergerak hanya perlu membayar tambahan caj perkhidmatan antara RM60 hingga RM100, tetapi mereka boleh mengelakkan peranan ejen. – MalaysiaGazette