Mohamad Hasan
Mohamad Hasan.

MELAKA – Anggota UMNO seluruh negara diminta menjadi anggota terus BN sekiranya Umno terbubar, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, langkah menjadi anggota terus BN itu hanyalah bersifat sementara bagi menunggu kepimpinan UMNO memulihkan kembali parti tersebut.

“Kalau terbubar UMNO pada empat cara untuk kembalikan keadaan seperti biasa, jika perlu kita jadikan BN rumah tumpang sekejap. BN (boleh) ambil ahli terus jadi (anggota UMNO) masuk (BN) terus sementara pulihkan UMNO,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Bersama Kepimpinan UMNO Negeri Melaka di Kampung Bertam Ulu di sini.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau tidak akan menuruti nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan UMNO kerana parti itu masih mempunyai amanah dan tanggungjawab untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya tidak mahu mengkhianati anggota UMNO yang setia dengan perjuangan membela nasib rakyat, malah kita akan bersama sepentas dengan parti lain antaranya Pas dalam memperjuang isu seperti menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” katanya.

Pada Jumaat lepas (9 November) Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata, beliau menasihatkan Ahmad Zahid membubarkan UMNO kerana parti itu kini hanyalah sebuah badan berdaftar dan tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. – Bernama