Dr. Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berkata ramai lagi veteran UMNO akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Menurut beliau, beberapa negeri seperti Johor, Kelantan dan Kedah sudah menzahirkan keinginan untuk menyertai parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

“Memang ramai tetapi kita tidak wajar menyebut nama mereka sebab mereka memilih jadual mereka sendiri.

“Di peringkat tertentu mereka akan muncul dan beri olahan mereka dan pendekatan mereka sendiri.

“Seperti Tan Sri Rafidah Aziz, beliau seorang veteran yang mempunyai peningkatan perjuangan sendiri jadi beliau ingin umpamanya memilih waktu dan tempoh beliau sendiri,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Gemilang pemeran koleksi lukisan wajah dan budaya etnik Malaysia di Menara Soka Gakkai Malaysia, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa veteran UMNO antaranya adalah Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Rafidah Aziz yang menyertai parti itu setelah gabungan Pakatan Harapan (PH) memenangi Putrajaya Mei lalu.

Rais menyertai Bersatu pada 4 Jun lalu, sementara Syed Hamid pada 26 September lalu.

Yang terbaharu, Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan beliau mahu menyertai PPBM.

Malah tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu disambut baik oleh Dr Mahathir.

“Kita memang mengalu-alukan beliau untuk turut serta bersama Bersatu (PPBM), lagi pun kita sudah pernah bekerjasama dalam satu tempoh yang panjang,” kata Dr Mahathir, Jumaat lalu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Rais berkata, kemasukan itu mestilah dengan rela hati dan bukannya untuk mendapatkan kuasa kembali.

“Ini penting difahami jadi kami seperti saya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Tan Sri Rafidah Aziz, kami tidak menonjolkan apa-apa hasrat melainkan hanya untuk membantu Bersatu agar nilai peningkatan serta produktiviti meningkat dari segi konsep perjuangan baru.

“Namun demikian prestasi bangsa Melayu wujud seperti biasa dan kita sesuaikan dengan perubahan yang boleh membawa kita ke tahap yang lebih cemerlang dan dengan realisasi baharu tidak ada perkara yang percuma yang harus kita terima begitu sahaja.

“Kita mesti berjuang bersama mendapatkan hak bersama kaum-kaum lain,” katanya lagi.

Mustapa menyertai PPBM pada 27 Oktober lalu dan menjadi satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH di Kelantan. – MalaysiaGazette