Wan Azizah
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata niat untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan hukuman mati mandatori terhadap pesalah jenayah di negara ini akan diteruskan.

Ujarnya, terdapat hukuman-hukuman lain yang boleh dikenakan kepada pesalah-pesalah jenayah dan perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet.

“Ada lagi hukuman-hukuman yang boleh kita berikan sebab ada jenayah yang berat yang saya rasa tidak boleh difikirkan oleh manusia, tetapi dah berlaku. Itu kita nak menangani masalah itu,” katanya kepada media di majlis pelancaran Kejohanan Badminton Campuran bawah 15 tahun pertama Asia di Stadium Juara Bukit Kiara.

PH mengambil pendekatan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori kerana tiada pengajaran kepada pesalah-pesalah jenayah ini.

“Kita tahu bahawa Australia tidak ada hukuman mati lagi, jadi kita nak pertimbangkan kerana kita tidak mahu sesiapa dijatuhkan hukuman mati jika dia tidak bersalah,” katanya.

Pada 27 Oktober lalu, kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan untuk memansuhkan hukuman itu kerana masih membuat konsultasi dan kajian mengenainya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian juga sedang mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

Bagaimanapun, langkah kerajaan itu ditentang sepenuhnya oleh keluarga mangsa yang melibatkan kes bunuh.

Antaranya pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui. – MalaysiaGazette