KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak untuk segera bertindak melakukan sesuatu yang lebih drastik agar dapat mengekang berlaku penderaan bayi dan kanak-kanak sehingga ada kes melibatkan mangsa maut dalam keadaan tragis.

Malah sejak akhir-akhir ini masyarakat sentiasa ‘dihidangkan’ berita yang menyayat hati dan terbaharu, berita kematian Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal bayi berusia sembilan yang bukan sahaja dipukul sehingga tempurung kepala pecah malah turut dirogol tanpa perikemanusian.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram melahirkan kekesalan tidak terhingga berhubung insiden yang menimpa bayi perempuan itu malah kes-kes lain membabitkan kanak-kanak didera, rogol dan diabaikan oleh golongan yang sepatutnya melindungi mereka.

Kata Usha, sehingga saat ini beliau masih belum mampu ‘menghadam’ apa yang berlakua berlaku kepada Muazara yang bukan sahaja masih kecil malah pembunuhan itu disifatkan antara paling kejam.

“Saya tidak faham mengapa seseorang yang sepatutnya dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk menjaga anak sekecil ini mampu memperlakukan dirinya seperti seseorang tidak berperasaan atau berotak.

“Saya juga masih gagal memahami bagaimana pengasuh wanita itu membiarkan sahaja suaminya yang juga mempunyai masalah dadah untuk mendera bayi itu dengan begitu teruk sekali? Tidakkah tangisan nyaring bayi itu langsung tidak didengari oleh wanita itu? Adakah anda semua ini layak digelar manusia?

“Ibu bapa bayi ini juga mengapa langsung tidak menyemak terlebih dahulu latar belakang pengasuh terlebih dahulu? Anak yang anda kandungkan selama sembilan bulan ini, anak yang sepatutnya anda tatang dengan penuh perhatian akhirnya diserahkan kepada ‘iblis’ seperti itu.

“Ramai yang sebenarnya boleh dipersalahkan atas kematian Muazara, dia hanya berusia sembilan bulan tetapi terpaksa melalui pengalaman paling pahit malah apa yang lebih menyayat hati, dia langsung tidak boleh meluahkan perasaan atau meminta bantuan menyelamatkan dirinya,” kata Usha kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Usha, pengasuh serta suaminya perlu di bawa ke muka pengadilan dengan hukuman paling berat dan menggerunkan agar memberi pengajaran yang cukup berkesan kepada golongan tidak bertanggungjawab seperti itu pada masa hadapan.

“Jangan tunggu sehingga lebih banyak kes dibawa kepada kita, pertama, dalang pembunuh Muazara perlu diadili dengan sebaik mungkin, hukuman paling setimpal. Jangan beri muka lagi.

“Saya senada dengan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah, jangan sesekali kasihan atau punyai belas kepada mana-mana pihak yang gagal menjalankan tanggungjawab melindungi kanak-kanak ini walaupun ibu bapa atau keluarga sendiri,” tegasnya.

Usha yang merupakan bekas Ahli Dewan Negara menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga perlu mencari alternatif selain daripada penggubalan undang-undang baharu menangani kes penderaan seperti ini.

“Mungkin boleh meminda Akta Kanak-Kanak dengan undang-undang jauh lebih berat dan drastik. Mungkin hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sebenarnya tidak menggerunkan mereka lagi.

“Pendaftaran bagi perkhidmatan kanak-kanak perlu diwajibkan dan diketatkan. Boleh cari jalan untuk memastikan sesiapa yang tidak berdaftar untuk mendaftar. Ibu bapa juga perlu meyemak adakah pengasuh ini berdaftar. Jangan main hantar begitu sahaja,” ujarnya.

Walaupun beliau bersetuju sudah banyak usaha dan pendekatan dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membendung jenayah dera tetapi penyelesaiannya sehingga kini masih belum ditemukan.

“Pelbagai kempen sudah dilakukan, pelbagai saranan sudah dipasakkan kepada institusi keluarga, individu malah orang ramai untuk membendung kejadian dera tetapi kes-kes dera masih berlaku di mana-mana.

“Paparan-paparan di media massa pun sudah cukup luas dan masyarakat sudah memahami apa itu dera dan kesannya malah tindakan undang-undang ke atas pendera. Jadi, kefahaman setiap individu yang waras tentang dera di negara ini sudah tidak boleh dipersoalkan.

“Jadi kita perlu jadi lebih drastik lagi, lebih ‘kejam’ untuk memastikan kekejaman seperti ini tidak senang-senang berlaku lagi,” katanya.

Usha juga memohon masyarakat untuk sentiasa peka terutamanya jika rumah jiran sentiasa bising dengan tangisan kanak-kanak atau suara orang perempuan menjerit dalam kesakitan kerana tidak mustahil ada sesuatu yang tidak kena.

Katanya, cukuplah dengan ‘bersangka baik’ terutamanya dalam hal seperti ini malah kesedaran induvidu serta masyarakat perlu mainkan peranan dengan permasalahan sekeliling.

“Bayangkan jika ada sesuatu yang tidak baik berlaku, tidak rasa bersalahkah kita apabila tiba-tiba berlakunya kes dera, pecah rumah dan lebih teruk lagi membabitkan pembunuhan sedangkan kita mendengarnya. Janganlah sehingga terlambat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Jangan lepaskan pesalah dera bayi 9 bulan begitu sahaja – Wan Azizah