Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin
Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia bekerjasama dengan Pesuruhjaya Sukan untuk menjadi pengantara kepada permasalahan yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman mempunyai kuasa penuh dalam akta sukan melibatkan kelab bola sepak negeri.

“Kita harap perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Saya memaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan bahawa dia boleh tentukan (pengesahan EGM) dan ada kuasa berkaitan segala isu membabitkan ahli gabungan FAM. FAM hanya badan induk kepada mereka (persatuan negeri/ahli gabungan),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama presiden ahli gabungan FAM, di sini, hari ini.

Khamis lepas, Mesyuarat Luar Biasa (EGM) FAS diadakan namun tidak mendapat perkenan daripada Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun, EGM itu dianggap sah oleh ahli gabungan yang hadir mengikut Artikel 34.1 Statut FAS 2010 walaupun wakil FAM dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) tidak hadir setelah dihantar jemputan.

Tengku Amir Shah kecewa dengan tindak tanduk beberapa bekas Exco FAS yang diketuai Omar Ali dan Datuk Ariffin Ab Hamid yang dilihat cuba memecah-belahkan keharmonian apabila tetap mengadakan EGM itu.

Kemelut tersebut berlaku apabila 55 anggota gabungan dipecat selepas sebulan Tengku Amir Shah menerajui FAS atas alasan baginda mahu melakukan perubahan dalam pentadbiran bola sepak Selangor.

Hamidin berkata beliau telah berbincang dengan anggota gabungan FAM mengenai perkara tersebut dan beliau mahu memastikan kesemua anggota gabungan mengikut Statut ditetapkan FAM.

“Kita ada bincang dengan Presiden FAS tadi dan saya sudah tekankan untuk pastikan semua persatuan mesti mengikut Statut persatuan negeri masing-masing. Jika tidak ia akan menjadi pertikaian nanti,” katanya. – BERNAMA